Thursday, November 24, 2011

PEMERINTAHAN KUKU BESI DI MALAYSIA?

Sudut perbincangan akan lebih menjurus ke arah parti politik tanpa menyentuh aspek pemerintahan di Malaysia iaitu sama ada parti politik di Malaysia didominasi oleh segelintir individu dan sama ada kemahiran, pengetahuan dan kuasa organisasi digunakan untuk menjaga kepentingan dan kedudukan sendiri. Aspek yang ditonjolkan dalam konteks kepartian Malaysia ialah dominasi segelintir individu ke atas parti yang mana terdapat di antara mereka telah menerajui parti lebih daripada 30 tahun.

Kesemua pemimpin parti utama telah menerajui parti masing-masing lebih daripada 15 tahun. Mungkin faktor ini disebabkan oleh ketokohan kepimpinannya, keyakinan ahli ataupun ketiadaan pemimpin yang setanding dengan pemimpin yang sedia ada. Namun begitu pemimpin yang sedang menerajui parti berada dalam situasi yang lebih baik untuk memanipulasikan peraturan dan menggunakan kemudahan, pengetahuan dan pengalamannya bagi mengukuhkan kedudukannya dalam parti. Terdapat pemimpin yang mengugut untuk melepaskan jawatannya, dan meminda peraturan parti yang akhirnya akan membawa kepada pengukuhan dan pengekalan jawatannya dalam parti. Menurut Michels, ugutan ini dibuat oleh pemimpin dengan tujuan untuk mendapatkan semula sokongan yang semakin menurun, dan langkah ini dilihat lebih selamat jika dilakukan sekiranya tiada pesaing yang ketara.

Hal ini boleh diperhatikan dalam politik UMNO yang mana terdapat beberapa kes bahawa pemimpin telah bertindak meminda peraturan bagi mengekalkan jawatan dan melemahkan pesaing mereka. Contohnya pengenalan undi bonus, iaitu calon akan mendapat 10 undi bagi pencalonan yang dibuat oleh setiap bahagian. UMNO mengamalkan satu cara iaitu dengan mencalonkan pihak yang sedang menyandang jawatan antara lain disebabkan faktor mengaruh dan kuasa dalam parti dan kerajaan, maka sistem ini akan member kelebihan kepada mereka. Walaubagaimanapun taktik ini tidak bertahan lama apabila ia tidak lagi selamat selepas Perhimpunan Agong UMNO 1993 apabila Anwar Ibrahim mencabar Ghafar Baba selaku penyandang jawatan Timbalan Presiden. Anwar telah berjaya memperolehi pencalonan dari sebilangan besar bahagian sehingga mereka memaksa Ghafar untuk menarik diri dari bertanding hasil dari strategi kempen yang terancang oleh Anwar.

Perhimpunan tahun 1993 merupakan kali terakhir sistem undi bonus ini diamalkan kerana kedua-dua jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan lagi pada tahun 1996 dan 1999 dengan alasan untuk mengekalkan kestabilan parti dan perpaduan dalam parti. Jelas menunjukkan bagaimana sistem undi bonus ini diwujudkan dan diubah demi menjamin kepentingan pucuk pimpinan agar mereka kekal memegang jawatan mereka dalam parti.

Dalam konteks Malaysia, parti utama didominasi segelintir pemimpin sahaja sejak berdekad yang lalu. Penguasaan itu bukan sahaja membuktikan kebolehan mereka sebagai pemimpin dan tiadanya saingan setara, tetapi juga menunjukkan kemampuan mereka menggunakan jawatan dalam parti untuk mengukuhkan kedudukan dan melemahkan saingan masing-masing. Secara keseluruhannya walaupun parti politik Malaysia mengamalkan sistem demokrasi namun ia tidak dapat mengelakkan amalan oligarki dalam kepimpinan organisasi tersebut.


No comments:

Post a Comment